MUSIM perayaan hampir tiba, maka bermulalah kesibukan di jalan raya dengan orang ramai berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman.

Namun dalam keterujaan menyambut perayaan, malang tidak berbau dan ada kalanya perjalanan yang dirancang berakhir dengan tragedi sama ada di pihak kita ataupun pemandu lain.

Dalam banyak kes nahas, pesalah jalan raya sukar dipastikan melainkan melalui rakaman foto atau video.

Pemasangan kamera dashboard atau dashcam di dalam kenderaan bukan sekadar aksesori semata-mata, malah ia mampu menyimpan bukti sekiranya berlaku kemalangan di jalan raya.

Mengikut statistik kemalangan jalan raya pada musim perayaan Aidilfitri tahun 2018, sejumlah 22,400 kemalangan dilaporkan di mana 1.10 peratus daripadanya membabitkan kematian.

Peranti dashcam boleh merakam kejadian kemalangan termasuk nombor pendaftaran kenderaan terlibat, terutamanya pelaku yang menjadi penyebab nahas.


Mahal tak nak pasang dashcam?

Mahal atau tidak sebenarnya agak subjektif. Tetapi sebenarnya dengan hanya bermodalkan RM100, anda sudah mampu memiliki unit dashcam yang terkini.


Selagi kita menggunakan rakaman yang ada untuk tujuan yang betul seperti menjadikan ia sebagai bukti kepada pihak polis, syarikat insuran dan mahkamah maka ia tidak salah.

Terdapat ribuan jenis dan kualiti dashcam yang dijual, namun tidak semestinya yang mahal itu mempunyai kualiti yang baik.

Sebagai pengguna yang bijak, beli mengikut kemampuan sendiri. Malah jika diamati, peranti yang murah dengan ciri minimum itu sebenarnya sudah memadai.


Baca/Tonton review produk

Jangan lupa untuk membaca dan menonton komen ‘review’ tentang sesuatu produk itu sebelum mendapatkannya di aplikasi pembelian atas talian bagi mengelakkan tersalah membuat pilihan.

Anda boleh membuat carian model dashcam yang ingin dibeli pada Google Search dan juga YouTube. Terdapat puluhan jika tidak ratusan laman web dan video yang dikongsi pembeli dan juga reviewer yang boleh dijadikan panduan.

Daripada segi pemasangan pula, ia tidaklah sukar. Pastinya ada manual yang disertakan bersama produk berkenaan.

Namun jika anda tidak yakin untuk memasangnya, pergi sahaja ke kedai aksesori kerana semestinya produk ditawarkan termasuk dengan pemasangan secara percuma.


Ciri-ciri yang perlu ada pada dashcam

Jadi, apakah ciri-ciri dashcam yang anda perlu cari?

Berikut beberapa ciri yang sewajarnya anda fikirkan sebelum membeli sebuah dashcam:

1. Kualiti gambar

Pastikan ia mempunyai kualiti imej yang baik. Setidaknya anda harus boleh membaca nombor plat kenderaan pada paparan videonya.

Seketika dahulu dashcam dengan resolusi 720p sudah memadai, namun kini kebanyakan dashcam di pasaran hadir dengan resolusi 1080p atau Full HD.

2. Skrin

Tidak semua dashcam didatangkan dengan skrin. Jika ciri ini ada pada peranti, kebiasaan saiznya sedikit besar bergantung kepada saiz skrin berkenaan.

Selalunya, kelebihan pada peranti berskrin ialah kesemua setting ada pada dashcam berkenaan berbanding versi tanpa skrin yang terpaksa menggunakan aplikasi mudah alih untuk tujuan itu.


3. Sudut Pandang

Semakin besar darjah sudut pandang, semakin luas rakaman video pada dashcam.

Kebiasaannya, darjah keluasan untuk dashcam ialah sekitar 110 hingga 130 darjah, bergantung kepada model peranti berkenaan.


4. Pemandangan malam

Pastikan kamera dashcam yang dipilih dapat merakam perjalanan pada waktu malam dengan baik.

Sebaiknya, pilih kamera yang dilengkapi dengan teknologi ‘High Dynamic Range’ supaya dapat merakam gambar dengan lebih jelas walaupun dalam pencahayaan yang minimum.


5. Dwi-kamera

Dashcam yang mempunyai fungsi kamera belakang selain kamera hadapan adalah amat disarankan. Ini kerana kemalangan juga boleh berpunca daripada pelanggaran pada bahagian belakang.

Unit ini selalunya didatangkan dengan versi cermin pandang belakang pada harga yang sedikit tinggi daripada biasa.


6. Aplikasi

Bergantung kepada jenama dashcam, selalunya ia didatangkan dengan aplikasi tersendiri untuk rujukan. Jika peranti anda tidak memiliki skrinnya sendiri, kebiasaannya anda perlu menonton rakaman melalui telefon bimbit. Di sinilah pentingnya aplikasi tersebut.


7. Waranti

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana peranti yang dibeli mungkin akan mengalami kegagalan dalam tempoh tertentu.

Tempoh diberi berbeza mengikut jenama dan penjual, selalunya di antara 3 bulan dan 1 tahun.

Jika dashcam anda diberi jaminan oleh penjual, pastikan anda menyimpan dokumen berkaitan untuk tuntutan di kemudian hari.


Menjelang sambutan perayaan tidak lama lagi, adalah wajar untuk anda mempertimbangkan memasang unit dashcam pada kenderaan anda.

Jika bukan untuk anda, setidaknya rakaman dashcam boleh membantu pemandu lain yang ditimpa musibah di jalan raya.

BACA: Pemasangan dashcam langkah baik buat pemandu Malaysia

BACA: Polis kenal pasti pemandu kenderaan terjunam ke dalam laut

BACA: Memandu ketika mabuk: Wanita dipenjara 17 tahun kerana sebabkan 4 kematian