CYBERJAYA:Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia merindui saat-saat menikmati makanan di luar selepas kerajaan menguat kuasa dan melanjutkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 iaitu hanya dibenarkan membungkus makanan daripada restoran atau kedai makan.

SOP yang dikuatkuasakan susulan lonjakan kes COVID-19 di seluruh negara turut menuntut pengusaha industri makanan dan minuman berfikir di luar kotak untuk terus bertahan dalam bidang perniagaan tersebut.

Di Cyberjaya, para pelanggan boleh menikmati makanan di luar dengan meletakkan kenderaan masing-masing di tempat letak kereta Restoran Padi House dan membuat pesanan daripada menu menerusi cermin tingkap.

Menariknya, setiap hidangan disediakan pada dulang khas yang sesuai untuk ruang sempit antara tempat duduk pemandu dan stereng kenderaan.



Pemilik restoran tersebut, Leow Kim Ngan berkata, idea untuk menyediakan perkhidmatan sedemikian diperolehi daripada makanan dalam penerbangan, selepas perniagaannya merosot 80 peratus.

"Sangat mencabar, kami perlu memikirkan cara baharu untuk mencari lebih banyak pendapatan," katanya.

Seorang pelanggan, Nor Shekin Nor Razali berkongsi pengalamannya menggunakan perkhidmatan tersebut dengan rakan-rakannya Khamis lalu.

"Saya bekerja di bank jadi tiada tempat yang sesuai untuk saya makan.

"Saya lebih selesa keluar dan kadang-kala kami perlu menukar pandangan supaya dapat menikmati makanan walaupun di dalam kereta," katanya.





** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !