LOS ANGELES: Pelakon veteran Hollywood, John Goodman, mencuri perhatian peminat selepas penampilannya yang jauh berbeza tular menerusi sekeping gambar yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.
Goodman, 74, yang terkenal menerusi sitkom popular era 1990-an Roseanne, dilihat bergambar bersama pelakon Disney, David DeLuise, dalam sebuah pasar raya.
DeLuise berkongsi gambar berkenaan di Instagram dengan menyifatkan Goodman sebagai legenda yang banyak mewarnai zaman kanak-kanaknya.
Penampilan terbaharu Goodman mengejutkan ramai peminat, dengan sebahagian daripada mereka mengakui hampir tidak mengenali pelakon tersebut susulan perubahan fizikal yang ketara.
Ramai turut memuji kejayaannya mengekalkan penurunan berat badan yang dianggarkan mencecah 90 kilogram.
Transformasi itu merupakan hasil perubahan gaya hidup yang dilakukannya sejak berhenti mengambil alkohol pada 2007.
Goodman kemudiannya mendapatkan khidmat jurulatih peribadi serta mengubah tabiat pemakanannya bagi mencapai berat badan yang lebih sihat.
Pelakon yang pernah mencapai berat badan sekitar 181 kilogram itu berjaya mengekalkan penurunan berat badannya selama bertahun-tahun.
Dalam satu temu bual sebelum ini, beliau berkata pendekatan yang perlahan tetapi konsisten melalui senaman dan gaya hidup aktif menjadi kunci kejayaannya.
Goodman merupakan antara pelakon komedi paling dikenali di Hollywood dan pernah memenangi anugerah Emmy.
Selain Roseanne, beliau turut dikenali menerusi filem The Flintstones serta sebagai pelakon suara watak Sulley dalam francais animasi Monsters, Inc. dan Pacha dalam The Emperor’s New Groove.
Pada 2013, beliau dimasukkan ke dalam Disney Legends Hall of Fame sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam industri hiburan dan lakonan suara.
Goodman dijadual kembali ke layar perak tahun ini menerusi filem komedi gelap Digger, yang turut dibintangi Tom Cruise.