PENYANYI pop dan pelakon antarabangsa, Ariana Grande menegaskan keputusan untuk berehat daripada kemunculan awam bukan dibuat secara tergesa-gesa atau dipengaruhi kritikan terhadap penampilan fizikalnya.
Sebaliknya, Grande berkata keputusan itu telah dirancang sejak sekian lama selepas melalui pertimbangan yang teliti.
“Pengumuman yang dibuat semalam bukanlah sesuatu yang dilakukan secara tergesa-gesa atau kerana reaksi terhadap sesuatu.
“Ia adalah keputusan yang telah lama saya rancang secara senyap. Keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang teliti dan dengan penuh keyakinan,” katanya ketika konsert jelajahnya di Chicago pada Selasa.
Grande turut menafikan dakwaan bahawa perhatian dan komen negatif di media sosial telah menjejaskan pelancaran dan kempen promosi album serta lagu baharunya, Petal.
“Saya ada mendengar bahawa peminat saya bimbang kononnya perkara negatif telah merosakkan era Petal. Namun, hakikatnya adalah sebaliknya.
“Batasan perlu ditetapkan. Sebagai manusia, kita juga memerlukan rehat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut menyifatkan siri jelajah konsert yang sedang berlangsung sebagai pengalaman paling bermakna sepanjang kerjaya seninya.
“Jelajah konsert ini merupakan, dan akan terus menjadi, pengalaman paling bermakna dalam kerjaya profesional saya,” katanya.
Terdahulu, wakil Grande mengesahkan penyanyi itu akan menarik diri daripada semua aktiviti yang melibatkan kemunculan awam sebaik sahaja menamatkan residensi konsert selama 10 malam di London pada 1 September.
Keputusan itu dibuat ketika media sosial dipenuhi perbincangan mengenai perubahan fizikal Grande serta dakwaan kononnya video muzik lagu Petal mengandungi mesej tersembunyi yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat.
Selain berehat daripada aktiviti promosi dan kemunculan awam, Grande turut menarik diri daripada pementasan semula karya Stephen Sondheim, Sunday in the Park with George, yang dijadualkan berlangsung di Barbican Centre, London.