GREENVILLE: Pejabat Koroner Daerah Greenville mengesahkan bedah siasat awal terhadap pelakon Amerika Syarikat, Hayden Panettiere, tidak menemukan sebarang tanda trauma, ketika siasatan berhubung kematiannya pada usia 36 tahun diteruskan.
Dalam kenyataan terbaharu, pihak koroner berkata autopsi yang dijalankan mendapati tiada kecederaan fizikal pada tubuh pelakon yang terkenal menerusi siri Heroes dan Nashville itu, namun punca sebenar kematian masih belum disahkan.
Menurut pihak berkuasa, pasukan kecemasan sebelum ini menerima panggilan mengenai seorang wanita tidak sedarkan diri di Greenville, Carolina Selatan, pada Ahad lalu.
Anggota perubatan kemudian melaksanakan bantuan hayat lanjutan selepas Panettiere dilaporkan mengalami serangan jantung, namun usaha menyelamatkannya gagal dan beliau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis Greenville turut memaklumkan siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah atau keadaan mencurigakan berkaitan kematian pelakon berkenaan.
Susulan berita pemergiannya, penghormatan terus mengalir daripada rakan artis dan peminat di seluruh dunia.
Pelakon pemenang Oscar, Viola Davis, menyifatkan Panettiere sebagai seorang bakat luar biasa, manakala pelakon One Tree Hill, Bethany Joy-Lenz, mengenang mendiang sebagai individu yang memiliki kecerdasan dan bakat lakonan luar biasa sejak usia muda.
Panettiere mencipta nama menerusi watak Claire Bennet dalam siri fiksyen sains Heroes sebelum menerima dua pencalonan Anugerah Golden Globe menerusi lakonannya sebagai Juliette Barnes dalam siri Nashville.
Mendiang turut membintangi beberapa filem terkenal termasuk Remember the Titans dan francais seram Scream sepanjang kerjaya yang menjangkau lebih tiga dekad.
Punca kematian Panettiere dijangka hanya dapat ditentukan selepas keputusan ujian lanjut diperoleh pihak koroner.