Skip to main content

Malaysia

Demi Gusti Puteri, Aisha Retno berguru hingga ke Solo

For this new staging of Puteri Gunung Ledang The Musical, we knew we wanted to honour not only the legacy of PGL… but also its future._IG pglthemusical
Aisha berkata, kunjungan pada penghujung Jun lalu memberinya peluang berguru dengan individu yang lebih arif mengenai adat, kesenian dan pergerakan masyarakat Jawa.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aisha Retno mengambil inisiatif terbang ke Solo, Indonesia bagi mendalami seni dan budaya Jawa sebagai persediaan membawakan watak Gusti Puteri dalam Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical).

Aisha berkata, kunjungan pada penghujung Jun lalu memberinya peluang berguru dengan individu yang lebih arif mengenai adat, kesenian dan pergerakan masyarakat Jawa.

Latihan itu merangkumi gerak tari, cara berjalan, bernafas, duduk dan menghormati orang, selain kehalusan setiap pergerakan yang menggambarkan seorang puteri Jawa.

“Kami mengambil masa selama beberapa hari dan masing-masing mencari kelapangan untuk terbang ke sana serta berguru dengan mereka yang lebih arif.

“Salah satu inisiatifnya adalah pergi ke tempat asal sesebuah watak itu untuk belajar dengan lebih mendalam,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Khamis.

Menurut Aisha, setiap pergerakan dipelajari secara terperinci bagi membolehkannya memahami persona Gusti Puteri, bukan sekadar menghafal dan melontarkan dialog.

Perjalanan itu turut mempunyai nilai peribadi buat Aisha kerana ibunya berasal dari Solo.

Aisha yang pertama kali menceburi dunia teater muzikal turut menjalani latihan intensif selama tiga bulan merangkumi aspek lakonan, nyanyian dan tarian.

Baginya, peluang membawakan watak ikonik itu hadir bersama tanggungjawab besar, lebih-lebih lagi selepas watak berkenaan dijayakan dengan begitu kuat oleh Puan Seri Tiara Jacquelina.

Bagaimanapun, Aisha melihat perbandingan dengan pelakon terdahulu sebagai pemangkin untuk memberikan persembahan terbaik, selain mahu menyuntik identiti sendiri tanpa mengetepikan asas asal karya berkenaan.

“Perbandingan dalam industri adalah perkara biasa. Saya fikir ia boleh menjadi pemangkin dan penyemangat untuk kita memberikan yang terbaik,” katanya.

Aisha turut menyifatkan Gusti Puteri sebagai watak yang mencerminkan perjuangan wanita dalam mengejar cinta dan kebebasan, selain mengajarnya menjadi lebih tangguh, berani serta berdisiplin.

PGL The Musical yang diarahkan oleh Tiara dijadualkan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November ini di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Petaling Jaya, Selangor.

Must Watch Video

Advertisement