Skip to main content

Malaysia

PGL The Musical bakal jelajah seluruh Malaysia

Musim audition kini bermula ✨  Nak jadi sebahagian daripada Puteri Gunung Ledang The Musical 2026?_IG pglthemusical.
Pengurus Besar Produksi dan Acara Langsung, Bob Azrai Kamaruddin berkata, pihak produksi sudah menjalin hubungan dengan beberapa negeri bagi merealisasikan perancangan berkenaan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Produksi Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical) merancang untuk mengadakan jelajah ke seluruh Malaysia selepas pementasannya di Kuala Lumpur.

Menurut Pengurus Besar Produksi dan Acara Langsung PGL The Musical, Bob Azrai Kamaruddin, pihak produksi sudah menjalin hubungan dengan beberapa negeri bagi merealisasikan perancangan berkenaan.

Katanya, pemilihan dua pelakon bagi membawakan watak Gusti Puteri pada pementasan berbeza turut menjadi sebahagian daripada persediaan untuk membawa produksi berkenaan ke lebih banyak lokasi.

“Tujuannya kenapa kita perlu ada dua puteri ini kerana kami di Infinity bersama Puan Seri Tiara merasakan kali ini kita akan pergi dengan Puteri Gunung Ledang lebih jauh lagi.

“Kita akan mengadakan jelajah ke seluruh Malaysia, insya-Allah. Kita akan pergi ke setiap negeri dan sudah mempunyai hubungan dengan beberapa negeri yang akan membenarkan kita mengadakan pementasan,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Khamis.

Bob Azrai menjelaskan, kedua-dua pelakon berkenaan akan membawa watak Gusti Puteri dalam pementasan atau hari yang berbeza.

Pendekatan itu dapat memastikan kelancaran jadual jelajah sekiranya salah seorang daripada mereka terikat dengan komitmen lain.

Dalam pada itu, Bob Azrai berkata, cabaran utama produksi kali ini adalah untuk mengekalkan identiti asal PGL The Musical, sambil menawarkan pembaharuan yang dapat menarik minat generasi muda.

Menurutnya, legasi karya berkenaan tidak boleh dibekukan, sebaliknya perlu terus dikembangkan tanpa menghilangkan elemen penting dalam penceritaannya.

“Kalau kita mahu meneruskan legasi itu, kita tidak boleh membekukannya. Kita perlu teruskan dan kembangkan legasi tersebut.

“Penceritaannya perlu dikekalkan, termasuk unsur cinta, kesetiaan dan pengorbanan supaya penonton membawa pulang sesuatu daripada pementasan ini,” katanya.

Kebangkitan semula PGL The Musical menampilkan barisan pelakon baharu, termasuk Aisha Retno sebagai Gusti Puteri, dengan Puan Seri Tiara Jacquelina bertindak sebagai pengarah.

Pementasan itu dijadualkan berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November ini di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Petaling Jaya, Selangor.

Must Watch Video

Advertisement