Skip to main content

Hiburan

Amy Lee dan keberanian bersuara: Bila muzik bukan lagi sekadar muzik

 band Evanescence
Evanescence dijadual mengadakan persembahan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini, pada 28 November depan, sekali gus menjadi satu-satunya persinggahan kumpulan itu di Asia Tenggara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Apabila muzik tidak lagi sekadar muzik, sejauh mana seseorang artis perlu menggunakan suaranya untuk menyentuh isu kemanusiaan?

Persoalan itu kembali menjadi perbualan dalam industri muzik dunia susulan kontroversi membabitkan penyanyi rap Amerika Syarikat, Macklemore yang dilaporkan disingkirkan daripada baki jelajah Ed Sheeran selepas menyuarakan sokongan terhadap Palestin.

Beberapa artis lain, termasuk Finneas, Lukas Graham, Aaron Rowe dan Beoga, kemudian turut menarik diri daripada jelajah berkenaan, dengan alasan yang dikaitkan dengan kebebasan bersuara, kemanusiaan dan solidariti terhadap Macklemore.

Namun, perbincangan mengenai keberanian artis untuk bersuara bukan sesuatu yang baharu.

Sebulan sebelum kontroversi itu tercetus, vokalis Evanescence, Amy Lee, dalam temu bual bersama The Guardian, turut menyentuh mengenai realiti kehidupan manusia yang menurutnya menyebabkan seseorang tidak boleh sentiasa memilih untuk berdiam diri.

Amy Lee mengakui beliau tidak menyukai politik, namun pada masa sama bercakap mengenai kekejaman, kehidupan, kematian dan genosid.
Bagi penyanyi itu, muzik menjadi ruang untuk beliau meluahkan perkara besar yang berlaku di sekelilingnya.

Pandangan tersebut memberikan dimensi berbeza terhadap peranan muzik - bukan semata-mata sebagai hiburan, tetapi juga sebagai medium menyampaikan emosi, pengalaman manusia dan keresahan terhadap apa yang berlaku di dunia.

Dan November ini, suara tersebut bakal bergema di Kuala Lumpur.

Evanescence dijadual mengadakan persembahan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini, pada 28 November depan, sekali gus menjadi satu-satunya persinggahan kumpulan itu di Asia Tenggara.

Kumpulan yang diterajui Amy Lee itu cukup sinonim dengan lagu seperti Bring Me To Life dan My Immortal, yang bukan sahaja mengangkat nama Evanescence ke persada muzik antarabangsa, malah menjadi sebahagian daripada memori peminat rock sejak era 2000-an.

Kini, menerusi era baharu termasuk Sanctuary, Evanescence terus mengembangkan perjalanan muzik mereka tanpa meninggalkan kekuatan emosi yang menjadi identiti kumpulan berkenaan.

Penyanyi dan pemuzik Poppy pula akan tampil sebagai artis undangan khas pada persembahan berkenaan.

Bagi peminat Malaysia, kemunculan Evanescence kali ini bukan sekadar peluang mengimbau nostalgia.

Ia juga menjadi ruang untuk menyaksikan secara langsung seorang artis yang pernah menyatakan pandangan bahawa muzik boleh menjadi medium untuk berdepan persoalan besar tentang kehidupan dan kemanusiaan.

Kerana pada akhirnya, seperti yang semakin jelas dalam landskap muzik dunia hari ini - mungkin muzik sememangnya lebih daripada sekadar muzik.

Must Watch Video

Advertisement