Skip to main content
Advertisement

Hiburan

'Apa yang lepas, biarlah berlalu' - XPDC, Izo kembali sepentas selepas 11 tahun

[TB]_xpdc, yazid, izo, reunion 3_ASTRO AWANI
Konsert XPDC Reunion bakal menemui peminat pada 17 Oktober ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Advertisement

SELEPAS kira-kira 11 tahun tidak pernah menjalin kerjasama bahkan sering menjadi punca pertembungan antara dua peminat tegar mereka, akhirnya XPDC Kita Pengyu (KPY) dan gitaris XPDC Militia Izo duduk semeja serta bakal berkongsi pentas menerusi konsert istimewa XPDC Reunion bulan depan.

Pertemuan itu menyaksikan Izo dan anggota XPDC KPY beramah mesra tanpa sebarang rasa janggal.

XPDC KPY dan Izo yang dijemput dalam satu sesi temu bual bersama sebuah stesen radio tempatan berkata mereka memilih untuk bersikap profesional tanpa membangkitkan sebarang isu demi menjayakan konsert yang telah lama dinantikan peminat.

"Hidup kita ini sentiasa berubah. Semalam lain, hari ini lain, dan esok atau lusa mungkin lain pula. Kita lalui sahaja.

"Kita ini bekerja, dan seperti mana kita bekerja hari ini, mungkin esok kita bekerja di tempat lain pula," kata Izo ketika ditanya mengenai penerimaannya terhadap pelawaan untuk mengadakan persembahan bersama rakan-rakan asal XPDC.

Image
[TB]_xpdc, yazid, izo, reunion 2_ASTRO AWANI
XPDC KPY dan Izo dijemput untuk sesi temu bual bersama sebuah stesen radio tempatan.

Izo yang akan bergandingan dengan Yantoi sebagai pemain bass, anaknya sebagai pemain gitar serta Ali selaku vokalis, turut meluahkan kegembiraan kerana dapat bersama XPDC KPY dalam projek berkenaan.

Sementara itu, pemain dram XPDC, Amy, berkata konsert itu menjadi detik istimewa buat peminat yang sekian lama mahu melihat mereka kembali bergabung di atas pentas.

Menurut Amy, ia bukan sahaja menggembirakan peminat, malah memberikan kegembiraan kepada anggota XPDC lain termasuk Zuar, Jeff, Ary serta pengurus kumpulan itu, Yazid Selamat.

"Agak terkejut juga pada mulanya ketika menerima tawaran ini, tetapi saya percaya ia sudah tertulis dan saya menerimanya dengan hati terbuka.

"Usia semua dah pun menjengah usia emas. Selagi kita boleh berkarya, kita akan buat sebaik mungkin demi peminat XPDC yang masih ada hari ini," kata Amy.

Image
[TB]_xpdc, yazid, izo, reunion 1_ASTRO AWANI
Yazid (kanan) bersama izo (kiri) pada pertemuan sempena konsert istimewa XPDC Reunion bulan depan.

Sementara itu, pengurus XPDC KPY Yazid Selamat berkata pihaknya sentiasa terbuka dan menghargai sikap profesional yang ditunjukkan Izo, Ariff serta Yantoi demi menjayakan konsert berkenaan.

"Ia ibarat rakan lama yang kembali ke sisi selepas sekian lama terpisah. Hubungan kami bukan setahun dua, malah telah terjalin sejak sebelum penubuhan XPDC pada era 1980-an lagi.

"Ini adalah hadiah yang terlalu istimewa daripada XPDC untuk peminat. Apa yang lepas, biarlah berlalu dan kekal sebagai sebahagian sejarah kami. Kita buka buku baharu.

"Kita tahu jasa arwah Mael, Izo, Amy dan juga Zuar selama ini sehingga XPDC mampu berada pada tahap di mana mereka berada sekarang.

"Saya harap semua peminat XPDC tidak melepaskan peluang ini yang pastinya tidak selalu datang di era dan zaman ini," kata Yazid.

Konsert XPDC Reunion bakal menemui peminat pada 17 Oktober ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Tiket konsert berkenaan sudah dijual sejak bulan lalu dan dilaporkan mendapat sambutan hangat daripada peminat yang sekian lama menantikan detik bersejarah tersebut.

Must Watch Video

Advertisement