Skip to main content

Hiburan

Rayakan dua dekad dengan 17,000 Raingers, Hujan ‘anarki’ muzik indie Malaysia paling berpengaruh dekad ini

GEMPAK
Setiap anggota Hujan punya personaliti dan daya tarik yang cukup memikat sehingga mampu menawan Raingers bukan hanya kerana vokal Noh tetapi flamboyant seorang AG, Hang Dimas, Izzat dan Am ‘berasmara’ dengan instrumen masing-masing tidak boleh dinafikan. -Foto Bangsawan Pictures
Advertisement

SERAMAI 17,108 Raingers, 45 buah lagu yang dimainkan secara langsung hasil karya sepanjang 20 tahun mendirikan kugiran bernama Hujan.

Hanya seorang Noh Salleh. Seorang AG. Seorang Am. Seorang Hang Dimas dan seorang Izzat.

Namun mereka yang hanya meletakkan lagu di ruang MySpace sekitar tahun 2005 - 2006  telah mencetak sejarah yang cukup membanggakan bukan sekadar industri muzik tanah air, tetapi Malaysia.

Lewat Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun anjuran Icon Entertainment, kugiran  ini tidak perlu terlalu ‘keras’ menjual jenama Hujan untuk menyeru gerombolan peminat atau Raingers sehingga 17108 orang membuat Stadium Hoki, Bukit Jalil, padat sepadat-padatnya.

Cukup dengan pengumuman Hujan akan merayakan sepak terajang kembara mereka dalam belantika muzik selama dua dekad. Dan bagaikan ’disihir’ Raingers turun seperti air mencurah dari langit.

Dan cara promosi payung merah bertanda XX yang dirantai panjangkan oleh rakan selebriti membuktikan betapa Hujan sentiasa menjadi kebanggaan dan di hati.

Jika boleh penulis menggunakan beberapa bahasa pasar dan kiasan, ini yang mahu ditulis tentang Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun.

Konsert ini liar, tidak terkendali, bebas disiplin atau peraturan, tidak siuman, penuh emosional, bersifat peribadi dan membawa bahang anak muda yang telah menghasilkan karya dengan ‘berapi-api’ lalu letusannya ‘meledak-ledak’ di konsert ini.

Seperti kata Noh, konsert malam itu seperti gig - merujuk kepada persembahan secara langsung dalam skala kecil yang biasanya melibatkan kugiran indie.

Budaya gig dapat dilihat jelas saat Raingers membuka mosh pit sendiri membentuk bulatan besar sambil menari secara rawak di beberapa titik yang cukup padat adalah pemandangan langka dalam penganjuran sebuah konsert berskala besar.

Tetapi Hujan berjaya mencipta sejarah dan momen gig yang cukup terkenal dalam kalangan penganut muzik tahun 90-an di dalam konsert.

Ironi, Hujan juga sebenarnya nampak tidak terlalu mencuba mengatakan merekalah sang juara - kugiran indie yang telah berjaya bersemayam dalam dunia komersial.

Namun lewat karya-karya tanpa peraturan yang dibuat kecuali penulisan lirik yang menyentuh beragamnya kehidupan, melodi yang menjadi nadi dan ‘biadabnya' permainan setiap anggota mereka adalah peluru paling ampuh membuatkan dua dekad Hujan sangat bersifat ‘emas’.

Hujan malah dengan piawaian yang tidak lokal telah menampilkan persembahan visual dan audio yang bersifat antarabangsa.

Buat peminat yang datang bukan untuk menerima ‘tak kisah kalau Hujan main macam 'hampeh’, ‘bunyi macam tong’ atau ‘Noh kaki hulur mikrofon’, Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun menyajikan atmosfera yang spectacular.

Dengan susunan muzik yang didengar boleh tahu dilakukan penuh dedikasi dan cinta lalu diterjemahkan dengan ‘gila’ secara langsung di atas panggung, ya panggung yang tidak cacamarba tapi cukup signifikan dengan ‘pembuat onar’ dalam muzik selama 20 tahun, semuanya luar biasa.

Berbaloi beli tiket, puas hati tersepit dan hampir dipijak dalam mosh pit.

Liar dan tidak ada peraturannya Hujan adalah apabila karya-karya mereka dari yang galau sehingga ‘heavy’ dimainkan di atas panggung dalam tiga segmen yang disusun kemas sekali gus membuktikan mereka adalah pemuzik sejati yang membikin karya dari hati untuk menyentuh jutaan hati dengan keperibadian muzik atau karya itu sendiri.

Itu belum lagi menyentuh artis jemputan mereka yang antaranya menyaksikan kemunculan Datuk M. Nasir pada lagu Kembara, Monoloque yang disifatkan jika tiada figura ini maka tiada Hujan dalam industri, rakan seperjuangan dengan gelombang muzik sama, Yuna, ‘si liar’ DJ Uno sehingga Fyn Jamal dan Akeem Jahat dan untaian lagu yang dibalut beragam ‘permainan penuh muslihat’, Konsert Hujan XX: Hujan 20 
Tahun wajib dijadikan tanda aras penganjuran dan bagaimana serius anak seni berdamai dengan kerja seni mereka.

Paling mengesankan, dari tempat duduk sambil menikmati persembahan, Hujan menunjukkan kepada industri bahawa kekuatan mereka selain kualiti karya adalah ketrampilan ‘rock n roll’ dan tidak peduli ‘rock star’ Barat yang disantun baik dalam budaya Asia.

Setiap anggota Hujan punya personaliti dan daya tarik yang cukup memikat sehingga mampu menawan Raingers bukan hanya kerana vokal Noh tetapi flamboyant seorang AG, Hang Dimas, Izzat dan Am ‘berasmara’ dengan instrumen masing-masing tidak boleh dinafikan.

Di malam dengan langit menawan, Hujan benar-benar merayakan 20 tahun  mereka dengan penuh emosional.

Berkali-kali Noh memberi anekdot bagaimana Hujan dibenci namun berkat kasih sayang Raingers yang sentiasa mendukung mereka, kugiran ini bertahan dua dekad lamanya.

Tentu sahaja kemunculan Hujan pada saat ramai yang tidak mengerti dan membezakan antara pemuzik gig dan artis komersial ini telah mengukir momen peribadi kepada Raingers.

Buktinya di sebalik gelang tangan lampu berwarna-warni yang dipakai Raingers, mereka ikut menyanyikan karya hujan dari yang paling ikonik seperti Aku Scandal, Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada, Ahmoi Chantek, Empayarmu, Dugaanku sehingga tembang yang hanya peminat setia yang mengikuti dan memiliki semua album Hujan seperti DBS, Ke Selatan atau Perindu Kalbu dengan saksama dan penuh antusias.

Hujan, kalian memang luar biasa. Terima kasih kerana telah hadir dan bertumbuh matang dalam muzik Malaysia.

Terima kasih menjadi gelombang yang memberi keberagaman dan kualiti pemuzik tanah air yang tidak bersifat ‘itu-itu sahaja’.

Dan saya sudahi artikel ini dengan hujah ini. Suka atau tidak, ini fakta ringkasnya. Hujan adalah anarki muzik indie di Malaysia paling 
berpengaruh abad ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement