PENYAMPAI radio, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al‑Yahya, 44, mengesahkan beliau kini sah bercerai dengan suaminya, Mohammed Azam Abdullah atau Miko, menerusi satu hantaran video di Instagram pada Khamis.
Aleya berkata, perkongsian itu dibuat bagi memaklumkan bahawa tempoh idahnya telah berakhir, sekali gus menjelaskan status rumah tangganya yang sebelum ini tidak diperincikan kepada umum.
Advertisement
Beliau menegaskan bahawa penjelasan tersebut penting bagi mengelakkan sebarang fitnah pada masa hadapan.
“Saya kongsikan hari ini kerana hari ini menandakan berakhirnya tempoh idah saya. Saya kini sah bercerai. Alhamdulillah,” katanya dalam video berkenaan.
Menurut Aleya, beliau dan anak-anak berada dalam keadaan baik serta saling menyokong antara satu sama lain sepanjang melalui fasa tersebut.
Beliau turut menitipkan permintaan agar orang ramai mendoakan agar Allah mempermudah urusan keluarganya dan mengampuni mereka.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Januari 2013 dan dikurniakan dua anak, Ali Abdullah dan Ahyan Abdullah.
Sebelum ini, Aleya pernah berkahwin dengan Muhd Ashraf Aasimuddin pada 2007 sebelum berpisah pada 2012, dan dikurniakan anak kembar Aza Ameena dan Asha Ameena.