Skip to main content

Hiburan

Showcase KITA FM tarik hampir 1,000 pengunjung di Kuantan

Sumber: ASTRO Audio
Hampir 1,000 pengunjung memeriahkan Showcase KITA FM di Menara Kuantan 188 yang menampilkan artis popular dan pelbagai aktiviti interaktif bersama penyampai radio. - Astro Audio
Advertisement

KUANTAN: Showcase KITA FM yang berlangsung di Menara Kuantan 188 baru-baru ini berjaya menarik hampir 1,000 pengunjung, sekali gus membuktikan sambutan positif masyarakat terhadap program yang menggabungkan elemen hiburan, interaksi dan semangat kebersamaan.

Acara itu menampilkan barisan artis popular tanah air antaranya Nabila Razali, Siti Nordiana, Warga, Sofazr 2ND Plan, Ammar Haikal dan Fairuz Syazwan.

Persembahan bertenaga daripada artis-artis berkenaan berjaya menghiburkan para pengunjung yang hadir sepanjang showcase berlangsung.

Selain persembahan muzik secara langsung, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif bersama penyampai radio daripada ERA, ERA Sabah, ERA Sarawak, SINAR dan THR GEGAR.

Pengurus Jenama SINAR dan ZAYAN, Zureen Affendi berkata sambutan yang diterima membuktikan radio masih relevan sebagai medium yang mampu mendekati masyarakat dan mengeratkan hubungan bersama pendengar.

“Kami amat berbesar hati melihat kehadiran hampir 1,000 pengunjung yang sanggup meluangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan Showcase KITA FM," katanya.

“Sambutan yang sangat positif ini membuktikan bahawa platform radio terus dekat di hati masyarakat dan kekal menjadi medium yang mampu menyatukan pendengar daripada pelbagai latar belakang,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, showcase berkenaan bukan sekadar menawarkan hiburan malah menjadi platform interaksi secara langsung antara pendengar, penyampai radio serta artis dalam suasana yang lebih mesra.

Tambahnya, kejayaan program berkenaan akan menjadi pemangkin kepada Astro Audio untuk terus menganjurkan lebih banyak aktiviti lapangan pada masa hadapan.

Suasana di Menara Kuantan 188 turut dimeriahkan dengan sorakan peminat setiap kali artis tampil membuat persembahan, sekali gus menjadikan acara itu sebagai pengalaman istimewa buat pengunjung yang hadir.

Must Watch Video

Advertisement