Pulangan pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih rendah kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya adalah disebabkan faktor ketidaktentuan ekonomi dunia serta penyederhanaan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, tegas Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar hari ini, kadar agihan pendapatan ASB yang diumumkan pada Khamis lalu iaitu 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016, masih lagi di tahap kompetitif.

Angka itu lebih rendah berbanding 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit pada tahun lepas manakala 2014 (7.50 sen seunit, sesen seunit), 2013 (7.70 sen seunit, sesen seunit), 2012 (7.75 sen seunit, 1.15 sen seunit), 2011 (7.65 sen seunit, 1.15 sen seunit) dan 2010 (7.50 sen seunit, 1.25 sen seunit).

Jelasnya, pulangan tahun ini turut dipengaruhi oleh faktor penurunan harga minyak dan komoditi yang menyebabkan pasaran saham mengalami jumlah pulangan pemegang saham di paras negatif sejak tiga tahun kebelakangan ini.

"Penurunan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sebanyak 4.7 peratus sehingga kini juga menyebabkan pulangan pelaburan ASB rendah.

"Oleh itu, pulangan 6.75 sen seunit atau 6.75 peratus ditambah dengan bonus 0.5 sen seunit boleh dikatakan amat kompetitif berbanding penanda aras prestasi pasaran saham yang negatif 1.7 peratus dan kadar faedah KLIBOR 3.3 peratus setahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PNB merupakan pengurus dana unit saham amanah terbesar di Malaysia membabitkan dana berjumlah RM260 bilion merangkumi RM220 bilion dana unit saham amanah dan RM40 bilion dana PNB.

Menurut Abdul Wahid, daripada RM220 bilion itu, ASB merupakan skim unit saham amanah terbesar meliputi 144 bilion unit saham.

Sejumlah 68.5 peratus jumlah dana ASB dilaburkan dalam saham syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, 2.6 peratus dalam sekuriti hutang manakala 28.9 peratus dalam wang tunai, katanya.

Pelaburan-pelaburan saham utama termasuklah Sime Darby Bhd, Malayan Banking Bhd, UMW Holdings Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Axiata Group Bhd, Maxis Bhd, Digi.Com Bhd dan Petronas Chemicals Group Bhd.

Abdul Wahid turut memberi jaminan bahawa PNB akan berusaha melaksanakan pelan strategik 2017-2022 yang diumumkan pada 24 November lepas untuk terus memberi pulangan kompetitif dan mapan bagi tahun-tahun akan datang.

Ini termasuk mengoptimumkan peruntukan aset strategik dan meningkatkan prestasi syarikat-syarikat milik PNB.

Malah beliau sendiri akan turut memanfaatkan pengalamannya selama 28 tahun dalam bidang korporat dan pentadbiran untuk mengemudi PNB.

-- BERNAMA