Alibaba Group telah mengulangi komitmennya untuk mengurangkan halangan perdagangan dan menawarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan akses yang lebih saksama ke pasaran global dengan menganjurkan seminar bertajuk "Akses kepada Pengguna China".

Dalam satu kenyataan, Alibaba Group berkata, seminar pada 27 Mac di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE itu bertujuan untuk membolehkan pengeksport tempatan memanfaatkan permintaan pengguna China untuk barangan Malaysia dan asing.

Seminar itu juga dapat membantu PKS di Malaysia memahami dengan lebih baik peluang di China, pemacu utama dalam ledakan e-dagang, serta pandangan dan alat terkini untuk menjual produk mereka dengan berkesan dalam pasaran e-dagang yang makmur di negara tersebut.

Ketua Perwakilan di Malaysia, James Song berkata, komitmen jangka panjang Alibaba Group di Malaysia menjadi penggerak bagi perniagaan tempatan maju melalui ekosistem yang terbuka dan mantap.

"Kami mahu membantu dalam membina infrastruktur perdagangan masa depan di pasaran ini dengan rakan kongsi tempatan, menggunakan perintis platform dagangan dunia elektronik kami, iaitu Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia," tambahnya.

Seminar satu hari itu menampilkan pakar terkemuka daripada perniagaan Alibaba, termasuk Tmall, platform pihak ketiga terbesar China untuk jenama dan peruncit, Tmall Global, platform e-dagang B2C terbesar di China serta dan cabang logistik, Cainiao.

-- Bernama