Tutup

Berita  | Bisnes

Dewan Perniagaan Cina Labuan hantar cadangan tangani isu tambang udara

Dewan Perniagaan Cina Labuan hantar cadangan tangani isu tambang udara
Dewan perniagaan itu antara lain mencadangkan MASwings memperkenal tambang khas untuk orang kelainan upaya dan warga emas selain kadar khas untuk kumpulan dan keluarga. - Gambar fail
LABUAN: Dewan Perniagaan Labuan Tiong Hua mengemukakan cadangan untuk menangani isu kekurangan penerbangan serta tambang udara yang mahal, kepada penyedia perkhidmatan udara luar bandar, MASwings.

Presidennya Datuk Wong Kii Yii berkata cadangan itu dikemukakan ekoran aduan berterusan daripada rakyat - terutama komuniti perniagaan - yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kesukaran yang mereka alami.
"Kami sangat bimbang terhadap tambang penerbangan domestik dari dan ke Labuan yang disediakan oleh MASwings, dan kami berharap syarikat perkhidmatan udara luar bandar itu akan menimbangkannya dan meyakinkan pihak berkuasa terlibat supaya memberi perhatian kepada permohonan kami," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cadangan berkenaan.

Antara lain, dewan perniagaan itu mencadangkan MASwings memperkenal tambang khas untuk orang kelainan upaya dan warga emas selain kadar khas untuk kumpulan dan keluarga.
Wong berkata pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), tidak wajar melihat penduduk Labuan sebagai golongan berpendapatan tinggi, walaupun pulau bebas cukai itu merupakan hab minyak dan gas.

"Masih ada orang yang berada dalam kategori B40 (dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,000) dan masih ramai yang hidup di bawah garis kemiskinan.

"Oleh itu, tidak adil untuk mengkategorikan penduduk Labuan sebagai golongan berpendapatan tinggi dan tidak berhak menikmati tambang rendah," katanya.

Wong berkata dewan itu sudah bersedia untuk bertemu dengan MAVCOM dan MOT, bersama-sama dengan pegawai MASwings untuk menyelesaikan isu-isu tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASwings Aminuddin Zakaria berkata beliau akan mengemukakan isu-isu yang diketengahkan itu kepada MAVCOM dan MOT untuk kajian menyeluruh.

"Saya mendengar keluhan dan cadangan dari dewan, dan saya akan memberi penerangan kepada pegawai MAVCOM dan MOT mengenai isu-isu terbabit," katanya.

-- BERNAMA