KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kadar bayaran bagi bakal haji muassasah kumpulan B40 yang akan menunaikan ibadah itu buat kali pertama, ditetapkan pada RM12,356 seorang tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu pula ialah RM19,152 seorang.

Beliau berkata perkara ini susulan kos haji bagi seorang bakal haji muassasah tahun ini ditetapkan RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lepas.

"Kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM12,356 seorang di mana kerajaan akan menanggung sebanyak RM1,000 seorang.

Kos haji 2024 meningkat 8% berbanding tahun lepas

BACA: 31,600 jemaah terima surat tawaran, TH biaya kos RM350.1 juta

"Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang.

"Selain itu, bayaran haji bagi bakal haji muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang dan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang," katanya pada sidang media Pengumuman Surat Tawaran dan Bayaran Haji 1445H/2024M di Menara TH di sini hari ini.

Manakala bagi kumpulan T20 pula, beliau berkata kumpulan itu akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang.