Ekonomi Malaysia berkembang 4.3 peratus pada suku ketiga 2016 berbanding 4 peratus suku sebelumnya, disokong peningkatan berterusan perbelanjaan sektor swasta dan sokongan tambahan daripada eksport bersih.

Menurut Bank Negara Malaysia penggunaan swasta meningkat 6.4 peratus berbanding 6.3 peratus suku kedua, disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan serta kenaikan gaji minimum yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2016.

Pelaburan swasta pula mencatat pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus pada suku ketiga, disokong terutamanya perbelanjaan modal yang berterusan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Dari segi penawaran, bank pusat berkata pertumbuhan pada suku ketiga disokong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan, manakala sektor pertanian kekal lemah.

Pertumbuhan sektor perkhidmatan disokong oleh aktiviti penggunaan swasta, manakala pertumbuhan sektor perkilangan disokong oleh industri berorientasikan eksport.

Inflasi, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), menurun kepada 1.3 peratus pada suku ketiga 2016 berbanding 1.9 peratus suku sebelumnya.

Dari segi ringgit, bank pusat berkata ia menyusut nilai berbanding dengan kebanyakan mata wang utama dan serantau pada suku ketiga.

Secara keseluruhan, ringgit menyusut nilai sebanyak 3 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku ketiga.

Ringgit turut menyusut nilai berbanding dengan euro (-3.9%), yen Jepun (-4.2 peratus) dan dolar Australia (-5.5 peratus).

Bagaimanapun unit tempatan mengukuh berbanding dengan pound sterling (0.2 peratus).

Bank Negara berkata pergerakan ringgit suku berkenaan mencerminkan peralihan sentimen pelabur dan pengimbangan semula aktiviti pelabur portfolio sepanjang suku itu, yang didorong terutamanya oleh perkembangan luar.

Bagi tahun penuh, Bank Negara menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 4 ke 4.5 peratus disokong Permintaan dalam negeri, khususnya aktiviti sektor swasta,