Indonesia memberi jaminan perkhidmatan perisikannya tidak akan melakukan intipan terhadap mana-mana pemimpin asing ketika berlangsungnya sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Bali Oktober ini.

Jurucakap Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Julian Aldrin Pasha berkata sebagai tuan rumah, Indonesia tidak akan melakukan perkara yang melanggar etika terhadap tetamunya.

"Kami tahu apa yang bersopan dan tidak bersopan, beretika dan tidak beretika. Mengintip adalah perbuatan tidak beretika dalam membina interaksi dan komunikasi di peringkat dua hala dan pelbagai hala atau dalam hubungan antarabangsa.

"Oleh itu, kami tidak akan lakukan sebarang perkara atau amalan tidak bersopan yang bercanggah dengan norma antarabangsa," katanya di Jember, Jawa Timur pada Rabu.

Beliau membuat kenyataan itu berikutan pendedahan bahawa pihak perisikan Amerika dan Britain melakukan pengintipan terhadap Susilo dan memintas komunikasi beliau ketika barlangsungnya sidang kemuncak G20 di London pada 2009.