Kerajaan sentiasa bekerja keras dalam usaha menarik pelaburan luar ke negara ini dan memastikan ekonomi negara terus berkembang bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia terbukti apabila negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini walaupun dunia berdepan cabaran geopolitik serta keadaan tidak menentu di beberapa negara Eropah dan Timur Tengah ketika ini.

"Kerajaan mempunyai matlamat bagi memastikan pelaburan dan ekonomi negara terus berkembang kerana kita mahu menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada golong muda di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Darul Falah yang dikunjungi lebih 10,000 pengunjung di sini, hari ini.

Mustapa berkata pelaburan negara luar amat penting bagi memastikan wujudnya peluang pekerjaan terutama untuk lepasan universiti.

"Lebih banyak pelaburan, lebih banyak peluang pekerjaan disediakan. Oleh itu kerajaan ketika ini terus berusaha menarik lebih banyak pelabur besar dan berpontesi dari Eropah, Jepun, China dan lain-lain negara untuk melakukan pelaburan dalam negara.

"Kita akan terus bekerja walaupun menerima kritikan daripada banyak pihak kerana kita tahu ini adalah tanggungjawab kerajaan bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Justeru katanya rakyat perlu mengekalkan kemakmuran dan keamanan negara bagi membolehkan hasrat tersebut dapat dicapai kerana pelabur mementingkan kestabilan politik sebagai jaminan terhadap pelaburan mereka.

-- BERNAMA