Ekonomi Malaysia dijangka terus menyederhana dalam separuh kedua tahun ini berikutan eksport yang perlahan, dasar monetari ketat di ekonomi-ekonomi utama serta peningkatan ketegangan perdagangan.

RHB Research Institute Sdn Bhd berkata pertumbuhan bagi separuh kedua tahun ini dijangka pada kadar yang perlahan 5.1 peratus tahun ke tahun daripada unjuran 5.3 peratus dalam separuh pertama.

"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia pada 5.2 peratus bagi 2018, susut daripada +5.9 peratus pada 2017, tetapi kami mengunjurkan risiko pertumbuhan perlahan bagi 2019 pada lima peratus," kata firma penyelidikan itu dalam laporan Economic Outlook, pada Selasa.

Petanda eksport perlahan itu adalah sejajar dengan pertumbuhan global, di mana eksport sebenar Malaysia diunjurkan susut kepada 5.1 peratus tahun ke tahun pada separuh kedua 2018 daripada 5.5 peratus dalam separuh pertama.

"Bagaimanapun, permintaan domestik dijangka berkembang kukuh bagi tempoh berbaki 2018. Ini dipacu oleh peningkatan dalam perbelanjaan pengguna dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar berkuat kuasa 1 Jun," kata RHB Research.

Ia juga menyatakan sektor-sektor utama dijangka mencatatkan prestasi perlahan susulan permintaan eksport yang menyederhana.

"Keseluruhannya, kami berpendapat aktiviti perindustrian yang perlahan dijangka juga membawa kepada aktiviti perkhidmatan yang kurang rancak," kata firma penyelidikan itu.

Inflasi dijangka menyederhana kepada 1.9 peratus tahun ini daripada 3.7 peratus pada 2017, susulan harga bahan api yang stabil.

"Meskipun inflasi keseluruhan yang lebih rendah daripada dijangkakan, kami percaya akan ada satu lagi kenaikan kadar tahun ini (+25 mata asas kepada 3.5 peratus," kata RHB Research.

Sementara itu, ringgit dijangka diniagakan rendah pada 4.10 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun ini berbanding paras 4.02 ketika ini.

Mengenai pelaburan swasta, RHB Research berkata dijangka perlahan kepada 4.1 peratus pada separuh kedua 2018 daripada anggaran 4.7 peratus pada separuh pertama 2018.

"Ia dijangkakan kerana pentadbiran baharu sedang mengkaji semula perbelanjaan, serta projek pembinaan dan prasarana negara. Kami percaya kesan itu kemungkinan besar lebih ketara pada 2019," kata firma penyelidikan itu.

Bagi tahun penuh 2018, pelaburan swasta dijangka berkembang 4.4 peratus, lebih separuh daripada pertumbuhan 9.3 peratus yang dicatatkan tahun lepas.

-- BERNAMA