Syarikat minyak nasional, Petronas, mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang tinggi sebanyak RM26.1 bilion pada separuh pertama tahun ini berbanding RM10.3 bilion dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Perolehan meningkat kepada RM108.1 bilion berbanding RM93.7 bilion sebelum ini, mendapat manfaat daripada trend menaik harga penanda aras utama dan kadar pertukaran asing tetapi sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan yang rendah, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Beliau berkata keuntungan lebih baik itu adalah susulan peningkatan purata harga sebenar dan penyusutan bersih aset lebih rendah dan kos yang baik.

"Pendapatan kami sebelum faedah, cukai, penyusutan dan margin pelunasan naik kepada RM45 bilion berbanding RM34 bilion daripada separuh pertama tahun lepas, susulan peningkatan purata harga sebenar," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan kewangan separuh pertama syarikat itu di sini hari ini.

Susulan prestasi cemerlang itu, katanya Petronas akan membayar dividen tambahan sebanyak RM3 bilion kepada kerajaan selain dividen sebanyak RM13 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata dividen tersebut akan dibayar secara berperingkat.

Mengulas mengenai prestasi syarikat minyak nasional itu, Wan Zulkiflee berkata Petronas turut berjaya mencapai kos operasi lebih rendah sebanyak lima peratus dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata syarikat membelanjakan RM21 bilion bagi pelaburan modal pada separuh pertama tahun ini, RM4 bilion lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lepas, terutamanya bagi projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor.

Projek tersebut berada di kemuncak aktiviti pembinaan dengan hampir 60,000 pekerja di tapak, katanya.

"Kedudukan tunai kami kekal kukuh, dengan baki tunai sebanyak RM138 bilion sehingga pada akhir Jun," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata tahap kadar hutang kekal rendah pada 17.1 peratus.

Sementara itu, katanya Petronas telah mengambil RM1.5 bilion, cukai bersih, kesan kewangan daripada pembatalan projek gas asli cecair Pacific Northwest di Kanada.

"Ini termasuk kira-kira RM700 juta penurunan nilai manakala selebihnya adalah anggaran kos penamatan susulan TransCanada bagi pembinaan saluran paip yang penting untuk projek itu," katanya.

Mengenai masa depan, katanya harga minyak dijangka pada purata US$50 setong menjelang akhir tahun dan kekal pada sekitar paras itu pada tahun depan.

Beliau berkata Petronas juga akan menumpukan kepada pembinaan portfolio hiliran pada tahun-tahun akan datang sejajar dengan aspirasinya untuk meningkatkan sumbangan sektor hiliran.

"Sumbangan daripada sektor hiliran akan menjadi lebih besar berbanding 10 tahun lepas," katanya, sambil menambah tenaga boleh baharu menjadi satu lagi bidang yang dirancang oleh syarikat untuk pertumbuhan masa depan.

-- BERNAMA