Pihak berkuasa Rom giat memburu seorang penjenayah selepas disyaki membunuh seorang pegawai polis Carabinieri yang sedang menjalankan tugas dalam kejadian pada Jumaat.

Menurut Pasukan Separa Tentera, pegawai berkenaan, Mario Cerciello Rega ditikam sebanyak lapan kali oleh seorang lelaki yang didakwa menuntut wang bagi mengembalikan beg dan telefon bimbit yang dicuri oleh seorang mangsa.

Media Itali melaporkan, tikaman tersebut mengena jantung dan belakang mangsa.

Mangsa berusia 35 tahun yang baharu mendirikan rumah tangga lima minggu lalu meninggal dunia dalam perjalanan hospital.

Difahamkan, ketika kejadian Mario Cerciello dan rakannya - bertugas dalam pakaian biasa ketika berdepan dua suspek yang dikaitkan dengan kes kecurian.

Sebelum itu, mangsa kes curi menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan selepas suspek meminta wang tebusan sebanyak 100 Euro (kira-kira RM459.17) dan mahu bertemu di lokasi kejadian bagi memulangkan barangan yang dicuri.

Susulan itu, pihak pendakwa, Lt. Col. Orazio Lanniello menyoal siasat dua warga Amerika yang tinggal di sebuah hotel mewah berdekatan lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Orazio menafikan dakwaan bahawa pihak polis telah menahan kedua-dua lelaki berkenaan, selain enggan memaklumkan sama ada siasatan ada kaitan dengan kes kecurian atau pembunuhan.

Identiti warga Amerika berkenaan juga tidak didedahkan dan kes masih dalam siasatan.