Seorang pembersih jalanan terkejut apabila terdengar tangisan seorang bayi dari dalam tong sampah ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di daerah Baoan Wilayah Guangdong.

Pekerja pembersihan itu kemudiannya terkejut apabila menemui bayi yang cukup sifat dalam dibalut beg plastik berwarna hitam.

Bukan itu sahaja, mulut bayi malang berkenaan turut disumbat dengan tisu bagi mengelak tangisannya didengari.

Bagaimanapun, ibu bayi mangsa itu yang merupakan remaja berusia 17 tahun berjaya ditahan, lapor Shenzhen Special Zone Daily.

Sebaik sahaja menyelamatkan bayi itu, pekerja pembersihan tersebut segera meminta bantuan kecemasan.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian memaklumkan bayi itu stabil dan berada dalam keadaan sihat.

Manakala, siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula berjaya mengesan individu yang bertanggungjawab membuang mangsa dan dipercayai pekerja kilang berhampiran.

Remaja itu dipercayai melahirkan bayi tersebut di bilik asramanya sebelum membuang mangsa ke tong sampah.

"Dia (remaja perempuan) baharu enam hari bekerja di kilang ini," kata pengawal keselamatan kilang berkenaan.