Botol berisi mesej berusia 132 tahun, iaitu yang tertua di dunia ditemui oleh pasangan Illman di persisiran pantai di utara Pulau Wedge, Perth pada hari Selasa.

Pasangan yang dikenali Kym Illman dan Tonya Illman itu menjumpai botol itu ketika mereka ingin membersihkan sampah yang terdapat di persisiran pantai tersebut.

"Tonya melihat banyak sampah di bertaburan di pantai itu dan dia teringin untuk membersihkannya.

"Dia menemui sebotol yang unik bentuknya dan dia ingin menyimpannya untuk jadikan sebagai perhiasan rak bukunya," kata Kym.

Kym menyangka botol itu berisi rokok gulung dan apabila mengeluarkan isi botol itu, Tonya terkejut mendapati ianya segulung kertas yang masih diikat rapi dengan tali.

Mereka cuba untuk membuka ikatan tali itu namun mereka khuatir bahawa gulungan kertas itu akan rapuh, sebelum mengambil keputusan membawa pulang botol berisi mesej itu ke rumah dan dikeringkan kertas mesej dengan menggunakan ketuhar.

"Sebaik sahaja kering, kami membuka ikatan tali itu dan tidak dapat membaca dengan jelas tulisan pada kertas terbabit.

"Tetapi kami mendapati ada satu mesej mengatakan bahawa sesiapa yang membaca mesej ini perlu hubungi konsulat Jerman jika menemui mesej ini," kata Kym.

Mereka juga menemui satu tulisan tangan menyatakan tarikh mesej ditulis pada 12 Jun 1886 dan nama kapal, iaitu Paula.

Mereka kemudiannya menghubungi pakar sejarah dari Muzium Western Australia untuk menyelidik mesej dalam botol tersebut.

Penolong Kurator Maritim Arkeologi Muzium Wester Australia, Dr. Ross Anderson mengesahkan penemuan itu adalah sahih selepas berbincang dengan pakar sejarah lain dari Jerman dan Belanda.

Botol itu telah dilepaskan di tenggara Lautan Hindi sewaktu kapal itu bergerak dari Cardiff, Wales ke Indonesia dan berkemungkinan ianya dihanyutkan menghala ke arah persisiran pantai Australia dalam tempoh setahun, kemudiannya ia tertimbus dan terkubur dalam pasir pantai, menurut laporan oleh pakar itu.

Beribu botol telah dibuang ke laut sewaktu Jerman mengadakan eksperimen jelajah lautan selama 69 tahun dan setakat ini hanya 662 mesej telah dikembalikan.

Kali terakhir mesej dikembalikan ke Jerman dijumpai di Denmark pada tahun 1934.

Sebelum ini, Guinness merekodkan mesej dalam botol tertua berusia 108 tahun yang ditemui di United Kingdom.