Brunei melaporkan lima lagi kes COVID-19 pada Selasa, sehari selepas kes pertama disahkan pada Isnin.

Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, lima kenalan rapat pesakit pertama juga didapati positif jangkitan virus tersebut dan diasingkan untuk rawatan di Pusat Kuarantin Negara di daerah Tudong.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Brunei mengumumkan pada petang Selasa, cuti sekolah yang dijadual bermula 16 Mac diawalkan kepada 11 Mac.

Menurut laporan The Straits Times Singapura, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun disahkan positif penyakit koronavirus itu pada Isnin, selepas dia pulang dari Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Pesakit itu mengalami demam pada 7 Mac dan menerima rawatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada keesokan harinya.

Kementerian Kesihatan menambah, ketika ini, kesemua enam pesakit berada dalam keadaan baik dan stabil.