Sebuah daerah di Indonesia merancang untuk mengharamkan penjualan kondom di kedai-kedai sekitar daerah tersebut untuk menghentikan perlakuan seks sebelum kahwin.

Pejabat pentadbiran di Luwu, dekat pusat bandar Pulau Sulawesi memberikan tempoh seminggu untuk pengusaha kedai serbaneka di daerah berkenaan untuk membuang kondom dari rak-rak mereka.

"Kami bimbang seks sebelum kahwin meningkat dalam kalangan remaja," kata Ketua Daerah Luwu Andi Mudzakkar.

Katanya, keputusan itu diambil selepas mengenal pasti bahawa kondom mudah didapati malah dijual secara terbuka di kedai-kedai sekitar yang memudahkan ia dibeli anak muda.

Tambahnya lagi, jualan kondom masih dibenarkan di kawasan terbabit tetapi terhad kepada pelanggan berusia 17 tahun ke atas.

Di kebanyakkan pulau terpencil di Indonesia, jualan kondom mudah didapati di kedai serbaneka.

Yaakub Gunawan, seorang aktivis Red Institute menganggap tindakan itu tidak akan menyelesaikan tingkah laku seksual berisiko.

"Kerajaan Luwu harus memberikan pendidikan seks awal agar remaja tahu melindungi diri (daripada risiko HIV) dan bertanggungjawab dengan tindakan mereka," katanya yang menggerakkan NGO yang memberi tumpuan kepada kesedaran HIV.

Setakat ini beberapa kawasan di Indonesia seperti Surabaya dan Bengkulu telah mengehadkan penjualan kondom dalam mengekang seks luar nikah dalam kalangan remaja.

Bagi ulama konservatif di Indonesia, mereka telah lama mengecam kempen rasmi menggalakkan penggunaan kondom atas alasan ia menggalakkan hubungan seks sebelum perkahwinan.

Awal tahun lalu, Bahagian Badan Pengkeranian Islam Indonesia dengan lantang menentang penjualan kondom berikutan laporan bahawa kondom turut dijual bersama coklat ketika sambutan Hari Valentine.