Penduduk tempatan dan para pelancong diminta menjauhi Gunung Kerinci yang kedudukannya terbentang di Jambi dan Sumatera Barat, Indonesia, berikutan gunung berapi itu mula meletus dan menghamburkan debu panas sejak semalam (Rabu).

Media tempatan melaporkan, Ketua Pusat Vulkanologi dan Pengurusan Bencana Geologi (PVMBG), Kasbani, menasihatkan mereka yang tinggal sekitar radius tersebut juga diminta berjaga-jaga, sementara sebarang aktiviti pendakian adalah dilarang sama sekali.

“Masyarakat di sekitar Gunung Api Kerinci dan pengunjung atau pelancong tidak boleh mendaki ke kawasan kawah yang ada di puncak Gunung Api Kerinci, iaitu dalam radius 3 kilometer dari kawah aktif,” ujarnya.

Kasbani menambah, kejadian letusan itu telah menyebabkan kepulan debu kini mencapai ketinggian lebih 800 meter dari puncak gunung itu, atau sekitar 4.605 meter di atas permukaan laut.

Sementara itu, pengendali dan pengawal pengangkutan udara juga diingatkan supaya menghindari ruang udara di kawasan bencana susulan situasi semasa berkenaan.

“Laluan penerbangan di sekitar Gunung Kerinci perlu dielak kerana letusan abu itu boleh mengganggu penerbangan,” ujar Kasbani.

Pada ketika ini, Gunung Kerinci berada pada status waspada atau Paras II.