Sebuah kapal penangkap paus kembali ke pelabuhan pada Khamis selepas belayar ke Antartika, dalam pelayaran yang telah menimbulkan kemarahan kumpulan pencinta haiwan, dan negara-negara yang menentang pemburuan tersebut.

Kapal berkenaan memulakan pelayaran di Laut Selatan pada Disember tahun lalu, dengan jangkaan tangkapan sebanyak 333 ekor paus Minke, biarpun ia berdepan bantahan dan moratorium yang diketuai Australia serta New Zealand.

Jepun bagaimanapun bertegas bahawa kapalnya itu menjalankan penyelidikan saintifik.

Pemburuan bagi musim 2015/16 itu dijalankan walaupun selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, memutuskan bahawa pemburuan tahunan itu sebenarnya bersifat komersial yang menyamar di sebalik ‘label’ saintifik.

Agensi Perikanan Jepun telah mengesahkan bahawa kapal itu telah tiba pada Khamis di pelabuhan Shimonoseki, namun enggan mendedahkan butiran lanjut termasuk saiz tangkapan.

Meskipun ditekan dengan moratorium dan bantahan, Jepun tetap meneruskan pemburuan paus.

Tokyo mendakwa pelayaran itu adalah bagi membuktikan populasi paus masih cukup banyak untuk aktiviti pemburuan komersial, dengan alasan ia perlu membunuh haiwan itu untuk menjalankan penyelidikan.

Bagaimanapun, mengenai daging paus itu yang akan berakhir di meja makan atau dijadikan bekalan ke sekolah, bukan lagi rahsia.

Rakyat Jepun memburu paus sejak berkurun-kurun lamanya, dan daging mamalia laut itu menjadi sumber protein penting khususnya ketika pasca Perang Dunia Kedua ketika negara itu diselubungi kemiskinan.

Begitupun, pengambil daging paus sebagai sumber makanan telah menurun dengan drastik dalam dekad-dekad kebelakangan ini.