Kesemua 54 pelajar Malaysia yang menuntut di dua universiti di Fukushima, Jepun yang dilanda gempa bumi pagi tadi dilaporkan selamat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian itu telah berhubung dengan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo dan mengesahkan bahawa kesemua pelajar Malaysia selamat memandangkan kedudukan universiti jauh dari pantai tempat berlakunya gegaran tersebut.

"Pada masa ini, pihak kedutaan akan terus memantau keadaan semasa dan mengingatkan semua pelajar agar sentiasa berhati-hati dan peka terhadap arahan keselamatan dari semasa ke semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa keselamatan di Fukushima," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Terdapat 49 pelajar Malaysia di Tohoku University dan lima lagi di Sendai Kosen Technical College.

Satu gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter telah berlaku di Fukushima, Jepun pada 5.59 pagi hari ini. Lanjutan daripada itu, satu amaran tsunami telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jepun. -- Bernama