Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Korea Selatan pada Sabtu menaikkan tahap amaran daripada "berwaspada" kepada "berjaga-jaga" ketika Taufan Tapah dijangka bergerak ke arah utara dan membadai beberapa bahagian di wilayah selatan negara itu hujung minggu ini, lapor agensi berita Yonhap.

Menteri Dalam Negeri Chin Young membuat keputusan itu ketika mempengerusikan mesyuarat berkaitan kementerian dan kerajaan wilayah bagi memutuskan serta membincangkan cara meminimumkan potensi kerosakan akibat taufan itu, yang ke-17 pada tahun ini.

Para pegawai terbabit memutuskan untuk memeriksa kawasan yang terdedah seperti cerun yang curam dan memastikan bahawa semua kaedah bersedia bagi mencegah insiden banjir, gangguan bekalan elektrik serta masalah lain yang boleh berlaku semasa dilanda taufan.

-- BERNAMA