Seorang lelaki Jepun ditahan pada Selasa selepas polis menjumpai keratan bahagian tubuh daripada sembilan mayat berbeza di kediaman apartmennya.

Semua keratan anggota tubuh itu disimpan dalam bekas penyejuk seperti yang digunakan untuk membawa barangan perkelahan, lapor Reuters yang memetik media Jepun.

Penemuan yang menggemparkan di kota Zama, yang terletak di pinggir metropolis Tokyo, itu adalah susulan siasatan kehilangan seorang wanita berusia 23 tahun awal bulan ini.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), wanita itu kali terakhir dilihat berjalan bersama seorang lelaki berdekatan apartmen berkenaan.

Portal berita Japan Times melaporkan, wanita berkenaan dipercayai menemui lelaki itu selepas menghantar 'nota' untuk membunuh diri di sebuah laman Internet.

Dalam apartmen tersebut, beberapa bekas penyejuk dijumpai dengan setiap satunya mengandungi keratan bahagian tubuh.

Seorang jiran yang disoal siasat polis memberitahu, dia menyedari tentang bau busuk yang tidak dapat ditemui puncanya sejak Ogos lalu.

Identiti kesemua mayat tersebut kini dalam siasatan polis.

Seorang lelaki, Takahiro Shiraishi, 27, ditahan kerana menjadi suspek utama dalam kes berkenaan.

Seorang pegawai polis memberitahu, Shiraishi sewaktu ditahan mengakui: "Ya, benar. Saya cuba untuk menyembunyikan mayat-mayat itu untuk melupuskan bukti."

Jurucakap Agensi Polis Kebangsaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sehingga kini, kumpulan petugas media, pihak berkuasa termasuk pasukan forensik serta orang awam terus membanjiri kawasan berkenaan untuk mengetahui jawapan bagi kes 'pembunuhan' tersebut.

Mereka menyifatkannya sebagai antara kes jenayah bunuh paling aneh dan mengejutkan pernah berlaku di Negara Matahari Terbit itu.