Presiden Amerika Syarikat Barack Obama kesal dengan kes tembak mati baharu dua warga kulit hitam oleh polis di Louisiana dan Minnesota.

Beliau dalam kenyataannya berkata negara berkenaan sudah terlalu kerap menyaksikan tragedi seumpama itu berlaku.

Obama merayu supaya penduduk di negara itu tidak melihat perkara itu sebagai isu sampingan.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa berkenaan, yang dibunuh oleh seorang anggota polis.

Obama berucap sebaik tiba di Warsaw bagi menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pada Rabu, seorang pegawai polis Minnesota menembak mati Philando Castile, ketika mangsa berada dalam kereta dengan tunangnya, Diamond Reynolds, dan anak Reynolds yang berumur empat tahun.

Kejadian itu disiarkan secara langsung dalam video yang dikongsi secara meluas di Facebook sehari sebelum kejadian.


Alton Sterling pula ditembak di Louisiana selepas dijatuhkan di kaki lima oleh dua pegawai polis berkulit putih, yang turut dirakamkan menerusi video telefon bimbit.