Presiden Barack Obama dengan tegas dan berterus terang menyalahkan Speaker Dewan Perwakilan John Boehner sebagai batu penghalang jalan penyelesaian kemelut pentadbiran negara itu yang masuk hari ketiga.

Katanya, Boehner boleh menamatkan keadaan yang kelam kabut itu hanya dalam masa tidak sampai lima minit, kalau beliau mahu.

"Kita undi, hentikan wayang ini dan tamatkan kemelut ini sekarang," kata Obama dalam satu rapat umum dekat Washington D.C.

Obama berucap kepada sekumpulan pekerja binaan yang beliau sifatkan sebagai rakyat Amerika yang bertungkus-lumus demi negara tetapi kini jadi mangsa kerana permainan politik Republikan.

Obama berkata Boehner boleh menyambung semula operasi kerajaan dan mengerahkan puluhan ribu rakyat kembali berkerja "dalam masa lima minit" dengan meluluskan satu belanjawan pengurusan sementara tanpa syarat.

"Speaker John Boehner tidak mahu undi dijalankan kerana dia enggan membangkitkan kemarahan kelompok ekstremis dalam partinya," kata Obama.

"Ini saja ceritanya. Ada cara yang mudah untuk membuktikannya. Bentang usul di dewan, biar wakil rakyat tentukan."

Obama yakin belanjawan sementara itu akan diluluskan dan beliau akan mengesahkannya.

"Kemelut ini akan selesai dan kami boleh kembali mentadbir dan membantu rakyat. Ini semua boleh dilakukan dalam masa setengah jam akan datang," kata Obama.

Boehner pada Rabu mengadakan rundingan dengan Obama dan pemimpin Demokrat di White House bagi membincangkan cara bagaimana mengembalikan keadaan seperti sedia kala.

Selepas mesyuarat itu, beliau memberitahu Obama enggan berunding dengan Republikan untuk menamatkan kemelut pentadbiran ini.

Kemelut ini berpunca daripada cubaan Republikan yang menguasai dewan perwakilan mahu memansuhkan pelan jagaan kesihatan yang dipelopori oleh Obama.

Dalam ucapannya, Obama menegaskan pelan penjagaan kesihatan itu sah setelah diluluskan di Kongres dan diiktiraf oleh mahkamah.

Penganalisis menyifatkan tindakan Republikan ini sebagai kesumat politik sejak Obama terpilih jadi Presiden pada 2008 dan dipilih semula oleh rakyat tahun lalu.