Sepandai- pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Itulah situasi yang sesuai untuk menggambarkan tindakan seorang lelaki yang didakwa menyeleweng dana bantuan pekerjaan COVID-19 untuk membeli kereta mewah Lamborghini.

Memetik laporan media antarabangsa, tertuduh David T Hines dari Miami, Florida didakwa menipu bank dengan membuat pernyataan palsu kepada institusi kewangan dan melakukan transaksi tidak sah.

Hines, 29, dilapor membuat permohonan palsu untuk Program Perlindungan Gaji iaitu skim kerajaan bagi membantu majikan membayar gaji kakitangan ketika penularan wabak COVID-19.

Hines dituduh mengemukakan pemohonan bagi pihak syarikat yang berbeza dan berbohong mengenai jumlah pekerja.

Secara keseluruhan, Hines telah memohon bantuan bernilai £10.4 juta (RM57,000,00).

Bukan sekadar membeli kereta mewah, malah lelaki itu turut menggunakan wang tersebut untuk membeli-belah dan menikmati percutian mewah di Miami.

Hines ditahan pada Jumaat dan akan didakwa pada 14 Oktober.