SEPANG: Kerajaan bersetuju untuk memberikan tambahan Bantuan Kewangan Haji Secara Bersasar berjumlah RM1,000 seorang kepada jemaah haji Muassasah golongan B40.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tawaran itu juga telah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, dengan bantuan itu, jemaah Haji Muassasah golongan B40 akan membayar kos haji berjumlah RM12,356, berbanding RM13,356 yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

“Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa merasai denyut nadi rakyat, kerajaan telah bersetuju agar kadar Bayaran Haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM13,356 seorang.

“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM19,944 seorang atau bersamaan dengan 60 peratus daripada kos haji.

“Manakala, Bayaran Haji bagi bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang,” katanya.

Tambah beliau, bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus daripada kos keseluruhan kos haji.

Manakala, Kumpulan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Perasmian Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan serta Sidang Akhbar di Sepang, pada Jumaat.

Menurutnya, kos menunaikan haji pada tahun ini meningkat sebanyak lapan peratus berbanding tahun lepas dengan tahun ini jumlahnya adalah RM33,300.

“Kos menunaikan haji meliputi seluruh rantaian perkhidmatan haji. Ini adalah termasuk penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di Tanah Air dan di Tanah Suci.

“Ia termasuklah operasi masyair, pengangkutan, kos pengurusan kebajikan serta kesihatan jemaah haji, dan lain-lain kos operasi.

“Selain itu, Tabung Haji turut terdedah kepada faktor-faktor di luar kawalan seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah dan caj perkhidmatan di Tanah Suci,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat bahawa Tabung Haji tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji.

Justeru, tegasnya, semua bakal haji dinasihatkan untuk memastikan pakej haji yang ingin diambil adalah salah satu daripada 25 buah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang telah dilesenkan oleh Tabung Haji.