SATU pergaduhan dilaporkan di sebuah pasar raya di Australia selepas dua orang pelanggan berebut untuk mendapatkan beberapa paket tisu tandas yang dijual di situ.

Tiga wanita terbabit dalam pergaduhan yang dirakamkan berlaku di bandar Chullora berhampiran Sydney, ketika wabak COVID-19 sedang merebak di seluruh dunia.

Pergaduhan dilaporkan tercetus apabila dua wanita, dipercayai pasangan ibu dan anak, dilihat menerpa ke arah dua paket tisu tandas terakhir yang diletakkan di atas rak barangan, sebelum seorang wanita lain datang dan cuba merampas salah satunya.

Ketiga-tiganya kemudian dilihat saling menarik rambut dan mencekak leher baju, sebelum dua pekerja pasaraya berjaya meleraikan mereka.

"Kami minta orang ramai tidak berkelakuan seperti ini apabila keluar membeli-belah," kata jurucakap polis New South Wales, Andrew New.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan kelakuan seperti ini. Mereka yang terlibat akan ditahan dan dihukum mengikut undang-undang.

"Tidak perlu membuat pembelian panik, membeli bekalan paracetamol dan makanan dalam tin atau tisu tandas dengan begitu banyak," kata New seperti yang dipetik portal The Sun.

Polis telah menyoal siasat seorang wanita berusia 49 tahun mengenai kejadian itu, manakala dua lagi sedang diburu.