Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet menggesa pakar antarabangsa membantu siasatan pembunuhan wartawan kanan Arab Saudi, Jamal Khashoggi.

Menerusi jurucakapnya Stephane Dujarric, Bachelet pada Selasa menegaskan, pakar penyiasatan antarabangsa ini juga mesti diberikan akses lengkap kepada keterangan dan saksi.

Antara lain, Bachelet turut menuntut Arab Saudi untuk mendedahkan lokasi jenazah Khashoggi.

Bachelet turut mengalu-alukan usahasama antara pihak berkuasa Arab Saudi dan Turki untuk menyiasat dan membawa suspek pembunuhan ke muka pengadilan.

Katanya lagi, siasatan menyeluruh dan terperinci harus dilaksanakan bagi memastikan kes ini dapat diselesaikan.

Khashoggi, 59 tahun, dilaporkan hilang sejak beliau memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Okt.

Riyadh mengakui kolumnis The Washington Post itu telah dibunuh di dalam konsulat tersebut dan 18 orang ditahan berhubung pembunuhannya hasil satu siasatan dalaman terhadap kes itu.

Minggu lepas, pihak pendakwaan Turki telah memohon perintah ekstradisi terhadap suspek untuk dibicarakan di Turki, bagaimanapun pihak Arab Saudi bertegas mereka akan didakwa di Arab Saudi.

Polis Turki dan para penyiasat lokasi jenayah telah menggeledah konsulat Arab Saudi, kediaman konsul jeneralnya serta sebuah kawasan hutan di Istanbul dalam usaha mengesan dan mencari mayat Khashoggi.