Berita  | Dunia

Penumpang mabuk cetuskan amaran rampasan pesawat di Bali

KUALA LUMPUR: Seorang penumpang mabuk cuba menceroboh kokpit pesawat milik Virgin Australia yang dalam penerbangan dari Brisbane ke Bali, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia.

Penumpang itu kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.

Virgin Australia dalam satu kenyataan awal melalui Twitter menafikan laporan bahawa pesawat tersebut dirampas sebaliknya mengatakan pesawat berkenaan mendarat dengan selamat.


Laporan awal sebelum itu menyebut pesawat berkenaan dirampas. Maklumat itu datang daripada  juruterbang pesawat berkenaan yang menghubungi pusat pengawal udara di Lapangan Terbang Ngurah Rai dan memaklumkan pesawat berkenaan dirampas.

"Maklumat terakhir, false alarm, penumpang mabuk cuba masuk kokpit. Tetapi kami sedang memeriksa (maklumat itu) lagi," kata jurucakap berkenaan seperti dipetik oleh portal berita, detik.com.

Pesawat Boeing 737-800 itu mendarat di Bali pada pukul 2.45 petang.
Ketua Pengarah Pengangkutan Udara Indonesia, Herry Bhakti S. Gumay sebelum itu memberitahu media maklumat rampasan berkenaan termasuk kata-kata "hijacked" diterima oleh pusat pengawal udara di Ngurah Rai pada pukul 2.05 petang.

Lima penerbangan yang sepatutnya mendarat di Bali dialihkan ke Lapangan Terbang Juanda di Surabaya.

Sementara itu, penumpang serta orang ramai yang berada di lapangan terbang tersebut turut berkongsi gambar pesawat yang dilaporkan dirampas itu.






Sebelum ini, laporan mengenai rampasan pesawat 737-800 diberitahu oleh jurucakap tentera udara Indonesia, Hadi Tjahjanto kepada stesen teleivisyen MetroTV

“Kami menerima maklumat bahawa sebuah pesawat 737-800 dari Brisbane menuju ke Bali dirampas,” kata Hadi.

“Juruterbang melaporkan bahawa pesawat tersebut dirampas,” Pegawai Kanan Kementerian Pengangkutan berkata kepada MetroTV.

“Terdapat maklumat bahawa salah seorang penumpang cuba untuk memasuki kokpit, kami sedang menyiasat.”

virgin, bali, hijack
Pesawat Boeing 737-800 yang mendarat di Bali pada pukul 2.45 petang.


Palani Mohan,  seorang penumpang penerbangan Garuda yang bakal berlepas dari Bali memberitahu:

“Kapten penerbangan saya membuat pengumuman bahawa penerbangan kami terpaksa ditangguhkan kerana terdapat kes rampasan pesawat di lapangan terbang Bali, kira-kira 150 meter dari lokasi kami.

“Saya melihat sekurang-kurangnya lima buah kenderaan termasuk trak tentera yang dipenuhi mereka yang berpakaian seragam menuju ke arah pesawat itu.

“Kemudian pesawat terbabit diiringi keluar diikuti oleh sekumpulan pasukan keselamatan. Menurut pembantu penerbangan, pesawat tersebut dibawa ke satu lokasi lain di lapangan terbang itu.

“Lapangan terbang Bali terpaksa ditutup dan kami diberitahu tiada pesawat yang tiba atau berlepas dari situ. Juruterbang juga tidak membenarkan sesiapa keluar daripada pesawat.”

BERITA LANJUT MENYUSUL...