Proses pengiraan bagi menentukan kedudukan Britain dalam Kesatuan Eropah, EU atau Brexit kini sedang berlangsung selepas proses pengundian ditutup 10 malam waktu tempatan.

Kiraan undi berjalan di beberapa pusat pengundian di seluruh United Kingdom.

Keputusan akan diumumkan secara berperingkat dengan keputusan pertama dijangka diketahui sekitar awal pagi Jumaat waktu tempatan.

BACA: Keluar atau kekal? 5 perkara penting tentang Brexit

Ia diumum mengikut kawasan termasuk Scotland, Ireland Utara, Wales, London dan lapan wilayah Inggeris yang lain.

Laporan awal menyaksikan keputusan untuk keluar mendapat sedikit kelebihan dalam undian yang dilihat hampir sama rata.

Antara keputusan awal adalah di Newcastle-upon-Tyne dan Gibraltar yang kedua-duanya cenderung untuk kekal dalam kesatuan itu.

Siaran BBC melaporkan, sehingga pukul 1 pagi waktu tempatan, sejumlah 1,100,713 (52.97%) mengundi untuk keluar berbanding kekal 1,051,904 (47.03%) .

Referendum UK adalah pungutan suara yang dicadangkan Perdana Menteri UK, David Cameron selepas pilihan raya pada 2015 bagi mengutip undi rakyat United Kingdom (UK) untuk menentukan sama ada UK kekal atau keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Selain menentukan nasib UK dalam EU, ia juga bakal mencorak penglibatan UK dalam beberapa isu utama termasuk imigresen, kerjasama ekonomi dan konsep pergerakan bebas EU.

Sejumlah 46.5 juta pengundi mendaftar untuk mengundi.