Baring di atas landasan kereta api sebelum maut digilis kereta api akibat tidak tahan dibuli di sekolah.

Itu yang berlaku ke atas seorang murid, Sam Connor, sembilan tahun dalam satu kejadian berhampiran stesen kereta api Chertsey, Surrey, England pada Isnin.

Lebih tragis lagi apabila Sam sebelum itu sempat meminta rakannya memegang beg sekolah dan telefon bimbitnya sebelum kematian kanak-kanak itu berlaku di hadapan sekitar 50 orang rakan sekolahnya.

Menurut keterangan keluarga mangsa kepada The Sun, Sam mendakwa dibuli di sekolah.

“Ramai lagi pelajar menjadi mangsa buli, namun apa yang berlaku kepada Sam mungkin sangat teruk dan sukar baginya,” katanya.

Dalam pada itu, Sam amat dikenali sebagai seorang murid yang bijak dan popular dan rakan yang baik.

Seorang rakan Sam memberitahu, dia sukar untuk menyatakan emosinya yang terlalu kecewa dan sedih.

Sementara itu, seorang pekerja kedai berhampiran mengakui mendengar jeritan dan tangisan kanak-kanak sekolah itu.

“Saya membayangkan telefon bimbit kanak-kanak itu terjatuh ke atas landasan kereta api kerana mereka terus merenung ke arah itu.

“Kami lihat ada pelajar perempuan yang menangis manakala pelajar lelaki pula melutut sambil memanggil nama Sam, Sam,” jelasnya.

Sekolah berkenaan melaporkan mereka amat berduka dengan pemergian Sam dan memanggil pakar psikologi pendidikan untuk membantu pelajar yang bermasalah bagi mengelakkan kejadian yang sama daripada berulang. - Agensi