KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Sekolah Menengah Sains Alam Shah di Jalan Yaacob Latif di Cheras enggan mengulas sebarang kenyataan berhubung dakwaan seorang pelajar sekolah berkenaan, Muhammad Danial Akmal Zulkhairi yang dikatakan melarikan diri dari asrama kerana tidak tahan dibuli.

Ketika dihubungi oleh Astro AWANI pada Isnin, pihak pengurusan berkata segala kenyataan akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa selepas laporan dan proses siasatan lengkap dilakukan.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengarahkan pihak sekolah menyediakan laporan lengkap berhubung insiden seorang pelajar tingkatan dua melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur kerana mendakwa tidak tahan dibuli.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata KPM akan mengambil tindakan selanjutnya selepas menerima laporan lengkap dan menjalankan siasatan berhubung kejadian buli tersebut.

KPM dalam kenyataan semalam memaklumkan pihak kementerian sedang menyiasat dakwaan buli membabitkan pelajar itu dan akan memastikan perkara tersebut diselesaikan segera.

Terdahulu, pelajar, Muhammad Danial Akmal hilang dari kawasan Sekolah Menengah Sains Alam Shah di Jalan Yaacob Latif di Cheras pada Khamis lalu, sebelum ditemukan dalam keadaan lemah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak pada Sabtu.

Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, berkata anaknya yang ditemui selamat itu mengaku dibuli dengan teruk sebelum nekad melarikan diri dari sekolah pada jam 3 pagi Khamis lalu.