Selepas melalui 76 hari perintah berkurung yang ditarik balik pada 8 April lalu, sebuah zoo di Wuhan kembali beroperasi pada Rabu dengan kemasukan terhad seramai 15,000 pengunjung sehari.

Zoo itu ditutup pada 22 Januari lalu, sehari selepas pihak berkuasa mengisytiharkan perintah kawalan di bandar tersebut.

Namun ada kebaikan daripada langkah penutupan kepada umum tiga bulan lalu.

Dilaporkan sepanjang tempoh itu, penghuni di zoo berkenaan berpeluang membiak.

Dua bayi rusa milu dan seekor anak kuda berjaya dilahirkan, masing-masing pada 2 April dan 8 April lalu.

Menurut kakitangan zoo berkenaan, semua haiwan berada dalam keadaan baik.

Mereka juga memperketatkan kawalan dan setiap kandang perlu menjalani proses nyah kuman setiap hari bagi memastikan kebersihan zoo sentiasa terjaga.