Britain berhasrat menjalinkan kerjasama perdagangan dengan China melalui perjanjian perdagangan bebas.

Menurut Perdana Menteri Britain Theresa May, ia adalah bagi membuka pasaran baharu buat firma di Britain.

Jelasnya ia antara tumpuan utama Britain untuk memeterai perjanjian terbabit dengan negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

"China adalah negara yang kita beri tumpuan terutama melibatkan kerjasama perdagangan," jelas May yang kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke China.

Dalam lawatannya di bandar universiti, Wuhan pada Rabu, May dijangka mengumumkan perjanjian pendidikan bernilai hampir satu bilion pound sterling.

"Saya yakin banyak lagi yang boleh diteroka di China. Kita akan cuba melihat halangan kepada potensi dagangan sebelum ini dan seterusnya membuka lembaran baharu perdagangan dengan China," jelasnya.

Selepas Wuhan, May dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping di Beijing.

Pada pertemuan tersebut May dijangkan membangkitkan isu masa depan Hong Kong dan menekankan komitmen Britain terhadap sistem pentadbiran 'Satu Negara, Dua Sistem' yang diiktiraf pada pemerintahan British selama 156 tahun di Hong Kong.

"Kami percaya masa depan Hong Kong adalah melalui sistem itu 'Satu Negara, Dua Sistem' dan kami komited dengannya," jelasnya.

Britain sebelum ini yang pernah mentadbir Hong Kong telah menyerahkan semula pentadbiran terbabit kepada China pada 1 Julai 1997.