Selepas ditegur Datuk Chef Wan dan netizen gara-gara makan di tepi jalan berhampiran tempat letak kereta, pengasas kosmetik Aliff Syukri kini tampil menjelaskan perbuatannya.

Menerusi akaun Instagramnya, Aliff Syukri berkata beliau menerima kritikan Chef Wan dan netizen dengan fikiran terbuka.

“Terima kasih atas teguran ini dan saya terima dengan fikiran yang terbuka,” tulis Aliff sambil berkongsi sekeping gambar beliau makan kebab di sebuah restoran.

“Saya berkongsi khas untuk Dato Chef Wan, saya berada di sebuah kedai kebab dan makan secara beradab.”

MESTI BACA: Chef Wan tegur Aliff Syukri isu makan di tepi jalan di luar negara

MESTI BACA: Aliff Syukri mengaku kahwin dua selepas disoal isteri?

Aliff turut menjelaskan mengapa beliau terpaksa bertindak sedemikian.

Menurut pengasas kosmetik itu, perjalanan beliau dan keluarga pada hari itu menyusuri kawasan luar bandar Switzerland.

Oleh itu, beliau dan keluarga memilih untuk membawa makanan sendiri kerana mereka perlu memandu jauh untuk mencari makanan halal.


Tambah Aliff, beliau pada ketika itu tidak mempunyai akses ke hotel untuk mereka berjamu di bilik - mereka sekeluarga terpaksa menetap di beberapa rumah tumpangan sepanjang empat hari perjalanan mereka.

“Ramai yang kecam kata kenapa kami tak makan dekat hotel…sebenarnya perjalanan kami kali ini menyusuri perkampungan indah di Switzerland. Jadi bila banyak berada di luar bandar agak payah nak cari restoran halal kalau ada pun terpaksa drive jauh semata-mata untuk makan.

“Kami berpindah rumah tumpangan sebanyak 4 kali termasuk perjalanan ke Itali...jadi disebabkan itu kami memang sudah masak.

“Tidak ada apa yang memalukan dan saya bukan kedekut tapi saya rasa lebih rapat bila masak dan makan bersama,” tulis Aliff.