SELEPAS dua tahun memeriahkan gelanggang industri hiburan tanah air, kumpulan indie, Toko Kilat bakal menjayakan siri konsert jelajah PEMACU API Tour 2019.

Apa yang menariknya, konsert ini juga akan menampilkan pemuzik dan vokalis terkenal, Noh Salleh.

Noh akan tampil dalam sesi akustik yang digarap khas bagi persembahannya di dalam siri jelajah ini.

Menurut vokalis utama Toko Kilat, Edwin Raj, selepas dua tahun muncul dengan album studio mereka akan tampil dengan album perdana yang akan memperkenalkan single terbaharu, Ratu Malam bersama muzik video.

Tambahnya, mereka juga mempunyai visi dan misi untuk muncul dengan ‘most anticipated album tour of the year’ .

"Kini kami dalam misi dan visi untuk muncul dengan ‘most anticipated album tour of the year’ yang diberi judul Pemacu Api Tour 2019 buat para peminat yang sudah lama menantikan album penuh dari Toko Kilat," ujar Edwin mewakili kumpulannya.

Selain Edwin, Toko Kilat turut dianggotai oleh Irfan Iskandar atau dikenali sebagai Cipan (drum) Mohamed Redzuan atau Wan (bass), Noor Azhari atau Toya (gitar) dan Syaiful Taufek atau Paul (keyboard).

Siri konsert Toko Kilat akan menjelajah ke tiga buah negeri terpilih iaitu Pulau Pinang, Johor Bharu dan Kuala Lumpur bermula 17 Ogos ini.

Peminat-peminat kumpulan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert PEMACU Api Tour 2019 di laman web rasmi www.tokokilatband.com.

Bagi Toko Kilat, ikrar mereka ialah siri konsert jelajah ini akan meninggalkan momen tersendiri buat para peminat.

Memandangkan Toko Kilat menggabungkan para pemuzik dari pelbagai kumpulan, maka dedikasi setiap anggota terhadap pementasan ini berada di tahap luar biasa.

“Setiap persembahan akan menyajikan sistem bunyi dan pencahayaan yang spektakular untuk para peminat sama-sama merasai pengalaman Toko Kilat menyiapkan album sulung kami,” ujar Irfan pula.

Pementasan jelajah Toko Kilat bersama Noh Salleh akan bermula di Pulau Pinang pada 17 Ogos ini diikuti Johor Bahru (24 Ogos) dan lokasi terakhir ialah di The Gasket Alley, Petaling Jaya (14 September).

Toko Kilat akan menjelah bersama Noh Salleh untuk Konsert Pemacu Api 2019