Tutup

Tayangan filem epik Iran tentang Nabi Muhammad ditangguhkan

Tayangan filem epik Iran tentang Nabi Muhammad ditangguhkan
Aktres Iran, Sareh Bayat dirakamkan gambarnya ketika berlakon dalam salah satu adegan dalam filem Muhammad. - Foto AFP/Mohammad Fogani
TEHRAN: Tayangan perdana filem yang menelan belanja jutaan dolar mengenai kehidupan di awal hayat Nabi Muhammad SAW ditangguhkan selama 24 jam kerana masalah teknikal.

Filem produksi Iran yang bernilai AS$40 juta (RM168 juta) itu mengambil masa selama tujuh tahun untuk disiapkan.

Berdurasi 171 minit, filem Muhammad yang dibintangi ramai pelakon hebat Iran itu sepatutnya ditayangkan di 140 panggung wayang di seluruh Iran pada Rabu iaitu sehari sebelum ia menjadi tayangan pembukaan sempena Festival Filem Montreal.

Namun, buat masa sekarang ia cuma akan ditayangkan di Tehran dan juga Kanada, kata jurucakap filem berkenaan.
“Ia akan mula ditayangkan esok,” katanya.

Media Iran melaporkan bahawa trek bunyi filem berkenaan tidak selaras dengan kemampuan sistem bunyi di kebanyakan panggung wayang Iran. Keadaan itu memaksa perubahan dalam jadual tayangan.

filem Iran
Foto pada tahun 2012 ini memaparkan kumpulan pelakon di set penggambaran filem "Muhammad", iaitu bahagian pertama daripada trilogi kehidupan awal Nabi Muhammad. Filem tersebut menurut pengarahnya Majid Majidi, diharapkan dapat mengubah persepsi tentang Islam. - Foto AFP / MOHAMMAD FOGHANI

“Mereka yang telah membeli tiket lebih awal boleh menggunakannya untuk mengikuti tayangan bermula Khamis sehingga Rabu minggu berikutnya,” ujar penerbit dan pengedar filem itu, Mohammad Reza Saberi.
Filem itu merupakan bahagian pertama dalam trilogi kehidupan Nabi Muhammad. Ia memaparkan peristiwa sebelum keputeraan hinggalah ke zaman remaja baginda sebelum diangkat kedudukan kerasulannya sewaktu berusia 40 tahun.

Walaupun Iran mengecam karikatur Nabi seperti yang diterbitkan majalah satira Charlie Hebdo di Perancis, Islam Syiah secara amnya lebih tenang berbanding Sunni dalam isu paparan figura agama.

Sementara kebanyakan tiket tayangan filem Muhammad di Iran habis dijual, pengikut Sunni bagaimanapun tetap menganggap produksi itu sebagai satu kontroversi walaupun dalam filem berkenaan tidak dipaparkan wajah watak Nabi Muhammad.