Seramai 26 individu direman manakala 91 lagi dikenakan kompaun selepas didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.

Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan individu yang direman berbanding hari sebelumnya yang hanya mencatatkan empat kes.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tindakan reman dan kompaun berkenaan dikenakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan beberapa kesalahan yang dilakukan antaranya menjalankan aktiviti pelacuran dan premis beroperasi lebih masa.

"Antara kesalahan lain ingkar arahan PKP adalah gagal menyediakan peralatan/ catitan keluar masuk sebanyak 37 kes.

"(Sementara kesalahan) tidak memakai pelitup muka pula lapan kes, premis beroperasi lebih masa dua kes, menjalankan aktiviti pelacuran sebanyak 24 kes, serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial iaitu 46 kes," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Dalam masa sama, beliau berkata, sebanyak 4,799 pasukan pematuhan yang melibatkan 16,438 anggota telah membuat pemantauan di 3,988 pasar raya, 5,731 (restoran) serta 1,500 (penjaj, 1,692 (kilang),
3,907 (bank) dan 1,033 (pejabat kerajaan).

Katanya, turut dipantau ialah 1,124 terminal pengangkutan darat, 212 terminal pengangkutan air serta 139 terminal pengangkutan udara.