Seramai 29 murid dan guru Sekolah Kebangsaan Iskandar di sini, mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menikmati sarapan di kantin sekolah itu, pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar menerima maklumat kejadian daripada Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pukul 11.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal PKD Kota Setar mendapati 21 murid lelaki, tiga murid perempuan yang berumur antara lapan dan 12 tahun serta seorang guru lelaki dan empat guru wanita mengalami gejala muntah.

"Terdahulu, kesemua mangsa dikatakan telah memakan nasi goreng yang disediakan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pada pukul 7 pagi. Selepas menerima maklumat kes, pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar dan Unit Kecemasan HSB telah ke sekolah berkenaan.

"Semua pelajar dan guru diberi rawatan sebagai pesakit luar dan tiada mangsa yang dimasukkan ke wad. Bilangan pelajar dan guru yang terdedah pula adalah seramai 29 pelajar dan enam guru," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata kantin sekolah berkenaan telah diarah tutup mengikut peruntukan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan punca kejadian.

"Kita menasihati pihak sekolah supaya terus memantau keadaan pelajar dan guru dan memaklumkan kepada PKD sekiranya masih ada kes sedemikian. Kita juga ingin nasihatkan orang ramai untuk mengamalkan amalan lihat, hidu dan rasa sebelum makan," katanya.

-- BERNAMA