Seramai 7,364 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa diarahkan menjalani proses kuarantin wajib di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua mereka ditempatkan di 30 buah hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

"Sejak 24 Julai hingga 7 Ogos lalu, mereka telah pulang dari 30 negara termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, dan Sepanyol.

"Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana
positif COVID-19," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 10 tapak pembinaan di seluruh negara telah diperiksa melibatkan 33 anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)

Daripada jumlah itu, pemeriksaan telah mendapati kesemua 10 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 707 premis perniagaan termasuk peruncit, pemborong dan pengilang.

Secara keseluruhan, katanya, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

"Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 2,643 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 2,551 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 87 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

"Lima lagi premis pula diberi amaran kerana tidak patuh SOP," ujarnya.