Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dimaklumkan hampir 99.9 peratus dokumen berkaitan kes isteri bekas perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa atas 17 tuduhan melibatkan diri beliau telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Ia membabitkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perkara itu dimaklumkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan pada prosiding sebutan semula kes hari ini di hadapan hakim Azura Alwi.

BACA: Najib dipanggil SPRM berhubung kes pemasangan tenaga solar


Sementara itu peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Rosmah memaklumkan pihaknya telah menerima 600 muka surat dokumen berkaitan kes itu pada 30 Oktober lepas.

Pihak pembelaan turut memaklumkan akan membuat permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh terdekat.

Azura kemudian menetapkan 6 Disember untuk sebutan semula kes.

Pada 4 Oktober lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram melebihi RM7 juta dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.